Tuesday 18 October 2011

Kemahiran insaniah tingkat kualiti pelajar

SEJAK beberapa tahun lepas, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerapkan kemahiran insaniah dalam diri pelajar institusi pengajian tinggi melalui kursus yang ditawarkan dengan harapan dapat meningkatkan kualiti mereka sebelum memasuki pasaran kerja.

Oleh itu, ketika pengajian di universiti semua pelajar dibimbing mengenai tujuh kemahiran insaniah (soft skills) oleh pensyarah masing-masing. Kemahiran yang dimaksudkan itu meliputi komunikasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepemimpinan. Tujuan KPT menerapkan kemahiran ini kepada pelajar universiti ialah supaya dapat memberi nilai tambah kepada mereka selain kurikulum yang dipelajari.

Ini bermakna apabila diterima melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi pengajian, pelajar turut didedahkan dengan kemahiran-kemahiran itu dalam tempoh pengajian.
Kemahiran insaniah menjadi aset penting bagi melahirkan graduan yang mampu bersaing, berkeyakinan, mampu berkomunikasi dengan baik serta boleh menyumbang kepada bakal majikan tempatan dan antarabangsa.

Kemahiran itu menjadi elemen yang dikenal pasti KPT sebagai amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang kini bersifat global. Tambahan pula, dengan ijazah semata-mata tidak mampu menjamin siswazah mendapat pekerjaan.

Oleh itu, lepasan universiti mesti memiliki kemahiran itu bagi menepati dan memenuhi kehendak pasaran kerja masa kini.

Tiga kemahiran itu sebagai panduan kepada para pelajar.

1. Komunikasi
Pelajar harus memiliki kemahiran berkomunikasi yang berkesan dalam bahasa Melayu dan Inggeris ketika proses pembelajaran di universiti. Mereka harus mahir menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan berkeyakinan secara lisan dan tulisan. Mahasiswa perlu didedahkan kepada pengalaman untuk menyuarakan persetujuan, bangkangan atau ada kalanya perlu memujuk dan motivasi. Kebolehan pelajar mengamalkan kemahiran mendengar yang aktif dan memberi maklum balas semasa kuliah dan sesi perbincangan dalam tutorial turut diberi penekanan. Pelajar juga akan dibimbing supaya pembentangan dapat dibuat secara jelas, penuh yakin dan sesuai dengan tahap pendengar iaitu rakan sekuliah mereka. Kemahiran komunikasi yang dipelajari mampu membimbing pelajar dari segi penggunaan teknologi dalam pembentangan, kebolehan berunding dan mencapai persetujuan, berkomunikasi dengan peserta yang berbeza budaya, kemahiran komunikasi interpersonal serta bukan lisan. Kemahiran itu sangat penting kepada pelajar kerana apabila berkerja, anda akan sentiasa berhubung dan berinteraksi dengan pelbagai pihak dalam bidang yang diceburi.

2. Pemikiran kritis
Menjadi mahasiswa institusi pengajian tinggi menuntut anda supaya memiliki pemikiran yang kritis agar berbeza dengan pemikiran rakan-rakan di luar kampus. Mempelajari kemahiran itu dapat membantu pelajar berfikir secara kritis, kreatif, inovatif serta berkebolehan aplikasi pemahaman dan pengetahuan kepada masalah baru dan berlainan. Kemahiran itu mendidik pelajar dari segi kebolehan mengenal pasti dan menganalisis masalah dalam situasi yang sukar dan kabur, serta membuat penilaian yang berjustifikasi. Malah, dengan memiliki pemikiran kritis mampu membantu pelajar meningkatkan kebolehan mengembang dan membaiki kemahiran berfikir seperti menjelaskan sesuatu idea, menganalisis data kajian atau menilai perbincangan. Pemikiran kritis juga mengajar pelajar dari segi kebolehan memahami dan menyesuaikan diri kepada budaya komuniti dan persekitaran kerja yang baharu diceburi itu. Oleh itu, bakal pekerja seperti anda memerlukan kemahiran ini untuk membantu menyelesaikan masalah serta mencetus idea baru dalam tugas yang dilakukan.

3. Kerja berpasukan
Ketika di universiti, pelajar banyak membabitkan diri dengan aktiviti berkumpulan sama ada berbentuk akademik mahupun kokurikulum. Lazimnya, bagi memenuhi keperluan kursus pelajar akan diberi tugasan kertas projek atau esei oleh pensyarah yang perlu dilakukan secara berkumpulan.
Kadang kala ada ahli kumpulan yang ‘curi tulang’ atau menjadi ‘penumpang’ iaitu tidak memberi sumbangan dari segi tenaga dan idea bagi menyelesaikan tugasan itu tetapi namanya mahu dimasukkan. Persoalannya, bagaimana mungkin pelajar seperti itu mampu bekerja dan bersaing dalam dunia pekerja di luar sana yang penuh dengan cabaran dan persaingan? Kemahiran insaniah turut menekankan elemen kerja berpasukan dalam diri para pelajar universiti. Mereka dibimbing bagaimana untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya untuk mencapai matlamat yang sama. Kemahiran yang ditekankan kepada pelajar termasuk kebolehan membina hubungan baik dan berinteraksi dengan orang lain di samping mampu bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang sama. Selain itu, pelajar dibimbing dalam mengambil peranan bersilih ganti antara ketua kumpulan dan ahli kumpulan, dan kebolehan mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan rakan lain terhadap pelajar. Kerja berpasukan perlu diamalkan oleh anda supaya lebih mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah berkaitan bidang tugas yang diamanahkan kelak.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts